Ungkapan Seni Silat Sendeng yang diabadikan oleh Allahyarham Guru Utama Haji Abdul Hamid bin Haji Hamzah pada perguruan ini, mengandungi erti dan falsafahnya tersendiri.
Di tinjau pengertiannya sepintas lalu menurut ungkapan tersebut ialah :
SENI
adalah kehalusan atau kelembutan gerak atau langkah yang tersusun ketika menggayakan atau melakukan sesuatu pergerakan jasmani.
SILAT
ialah ketangkasan pergerakan jasmani ketika mempertahankan diri atau menyerang sama ada bermain secara tangan kosong atau bersenjata.
SENDENG
merupakan adunan teknik pukulan dan dan tektik mengelak atau menyerang berposisi mengiring.
Mendalami pengertian SENDENG yang menjadi teras perguruan ini, ia mencakupi ertikata yang amat luas baik dari segi ilmiah, jasmaniah mahupun rohaniah.Di sei ilmiah umpamanya 'Sendeng' terdiri dari sukukata dua perkataan yang dicantumkan iaitu 'SEN dan'DENG'.
' SEN '
singkatan dari perkataan ' Senggam ' bermaksud kedudukan yang kukuh, kuat dan rapi.
' DENG '
(atau ' DING ' ) berasal dari perkataan ' Dinding ' iaitu tempat bertahan, tembok atau tempat perlindungan.
Di sudut jasmani pula, kedudukan secara menyendeng ketika menunggu serangan dapat menyelamatkan tujuh bahagian anggota yang merbahaya (muka, halkum, dada, sudu hati, rusuk , perut dan kemaluan.Di mana setiap bahagian sasaran utama yang menguntungkan lawan telah dikawal rapi.
Dengan cara ini juga akan memudahkan sipesilat untuk menggorak langkah sama ada maju ke hadapan, mengundur dan membuat buangan atau menepis.
Manakala dari segi rohaniah kedudukan menyendeng dikatakan selamat dari ancaman 'permainan jauh ' dan seandainya kena hanya sipi dan tidak tepat kerana ternyata tempat yang hendak di 'tujui' nya (seperti jantung, ulu hati dan kemaluan) telah terlindung oleh bahu malah tidak dapat ditembusi kerana digalang oleh rahsia ' Lam Alif ' yang terjadi pada bentuk badan bila berkeadaan mengiring.Lagipun turun naik nafas yang menjadi panduan utama keberkesanan ' permainan jauh' itu sukar untuk dikesan.
Oleh yang demikian itu kedudukan 'Sendeng ' merupakan salah satu cara unutk melepaskan, mematikan, memuka dan menepis sebarang bentuk 'musibah' yang menghampirinya kerana falsafah sendeng ada menyatakan "capai sebelum sampai dan bunuh sebelum hidup".
Continue Reading